MAWAR AGAMA : MENJAGA ‘IFFAH & ‘IZZAH
Menulusuri bait-bait kisah indah perjuangan srikandi, seindah Syurga sebagai janji dan iman sebagai paksi itulah satu bentuk pengorbanan yang bertitik tolak kerana Allah. Ujian ditempuhi bukanlah semudah yang disangka, malah jauh berlipat kali ganda beratnya. Sumayyah bint khabbat, keimanannya diuji hebat apabila nyawa menjadi taruhan tapi kerana setianya pada Allah, pengorbanannya utuh untuk mempertahankan imannya. Saidatina Khadijah, ummu mukminin yang perjuangannya demi agama begitu kukuh dan teguh, sentiasa disisi baginda Nabi dalam perjalanan dakwah yang penuh getir dan rintangan.
Begitu juga kisah Asiah bint Muzahim, seorang isteri yang diuji bersuamikan Firaun tetapi dia dijanjikan Syurga, wanita berani yang mempertahankan kepercayaannya pada Allah walaupun hidupnya dikelilingi mereka yang berpaling dari Allah. Begitulah hebatnya srikandi ummah. Bolehkah kita berjuang dengan keimanan yang sebegitu rupa? Ya, sudah tentunya boleh. Malah, menjadi mawar agama yang hidupnya mengejar mardhatillah (Redha Allah) diwaktu dunia sarat dengan fitnah dan ujian semisalnya – adalah satu kemuliaan buat yang bergelar muslimah, mawar agama yang cinta dan tawakkalnya begitu tinggi pada Dia. Solehah itu mahal harganya, kerana yang nyata Syurga itu suatu keindahan yang terlalu tinggi puncak kenikmatannya.
Dan seandainya …
Setiap wanita itu kembali kepada fitrahnya – kembali kepada Al-Quran, mentadabburi kalimah-kalimah indah Tuhan dan bersungguh dalam melaksanakan tiap satu darinya, maka setiap satu urusannya, urusan keluarganya dan urusan masyarat disekelilingnya sudah tentu akan tumbuh mekar dengan baik sebagaimana generasi yang pertama. Ternyata, wanita sebegini akan menjadi sehebat srikandi, punyai kecantikan yang tersembunyi. Wanita yang cantik tanpa peribadi yang mulia, diumpamakan kaca mata yang bersinar tetapi sayang, ianya tidak membantu kita untuk melihat apa-apa melainkan kekaburan yang nyata.
Milikilah wanita ‘Izzah dan ‘Iffah, iaitu dua sifat/akhlak mulia yang seharusnya wujud didalam setiap diri dan jiwa mereka yang bergelar mawar agama. ‘Izzah, suatu bentuk akhlak yang membawa makna mereka yang menjaga kesucian, kemuliaan, harga diri atau kehormatan. Kemudian ‘Iffah, iaitu menahan atau menjaga diri sepenuhnya daripada perkara yang mengundang murkaNya Allah. Izzah dan ‘Iffah yang terpelihara baik akan melahirkan suatu punca atau sumber kekuatan dan kemuliaan dalam diri. Maka, tumbuhi dan semaikanlah akhlak ini dalam diri, moga ianya menjadi sinar kepada kebahagiaan buat diri dan ummah. Bukankan ummah yang bakal lahir, berhak untuk lahir dari Rahim wanita yang ber’ilmu dan berakhlak?

Benar, usaha untuk menjaga ‘Izzah dan ‘Iffah ini tidaklah mudah, malah perjalanannya mungkin diuji dengan pelbagai mehnah dan rintangan. Ia memerlukan perjuangan jiwa yang meletakkan kepercayaan (tawakkal) hanya kepada Allah. Percaya, bahawa pada penghujungnya, ganjaran indah menantimu wahai jiwa-jiwa yang mulia. Tetaplah ingat, menjadi seorang wanita islam merupakan satu penghargaan dan bentuk kemuliaan daripada Allah. Betapa Islam mengangkat tinggi martabat seorang wanita.
Sejenak kita befikir, bagaimana indah dan terpeliharanya martabat serta maruah seorang muslimah yang dijaga Allah. Dari saat ia lahir, dididik dan dijaga oleh mereka yang digelar ibu dan bapa. Disaat takdir menemukan seorang muslimah dengan pasangan hidupnya, dia dijaga pula oleh insan bergelar suami. Lalu, tidakkah kita melihat betapa tinggi penghargaan yang Allah beri? Alangkah lebih baiknya untuk menerapkan bahawa hidup ini adalah tentang penilaian Allah, bukan tentang penilaian makhluk-Nya. Hidup adalah untuk Allah. Perempuan yang mulia dan terpuji dalam Islam adalah para muslimah yang hidupnya semata-mata kerana Allah Ar-Rahman.

Wahai bidadari-bidadari yang dirindui Syurga, Tumbuh mekarlah menjaga ‘Izzah dan ‘Iffahmu. At-Tirmidzi pernah meriwayatkan sebuah hadith, “Wanita itu adalah aurat, apabila ia keluar rumah makan Syaitan menghias-hiasinya membuat indah dalam pandangan lelaki-lelaki. Sehingga, ia terfitnah”