Hayati Peristiwa Nuzul Al-quran.
NUZUL AL-QURAN
Nuzul Al quran membawa maksud penurunan Al-quran. Pada 17 Ramadhan bersamaan dengan 6 Ogos 610M adalah tarikh dimana ayat pertama Al quran diturunkan. Peristiwa ini telah berlaku di Gua Hira’.
Allah SWT telah menurunkan Al quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhamad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya . Membaca Al quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat. Ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Bukanlah semua ayat al-Quran diturunkan dengan sebab atau peristiwa yang berlaku tetapi sebahagiannya diturunkan tanpa asbab. Oleh itu, bolehlah al-Quran dibahagikan kepada dua bahagian:
- Bahagian pertama: Diturunkan tanpa sebab-sebab tertentu seperti ayat-ayat yang menceritakan tentang nabi-nabi dan umat-umat terdahulu.
- Bahagian kedua: Ayat atau surah yang diturunkan berdasarkan kepada sebab atau peristiwa-peristiwa tertentu seperti:
- Menjawab persoalan yang ditimbulkan kepada Rasulullah SAW
- Untuk menempelak.
- Mengajar syariat-syariat dan hukum-hakam.
- Menetapkan jiwa Rasulullah SAW.
AYAT PERTAMA & TERAKHIR
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW, ayat al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah SWT melalui utusan malaikat Jibrail adalah lima ayat daripada surah al-‘Alaq dengan maksudnya;
“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan Nama Tuhan-mu, yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah Dengan Nama Tuhan-mu, Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”, (al-‘Alaq: 1-5).
Apa yang jelas, pengajaran isi al-Quran ini telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi sebagai panduan untuk kehidupan manusia seluruhnya. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.
CARA-CARA AL-QURAN DIWAHYUKAN
Isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aishah, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW, pernah bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab, ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan gema (desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-Ku.”
Nabi Muhammad SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu.
Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:
1. Menerusi mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan: “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang telah ditetapkan oleh Allah“. ( As-Syura: 51)
2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.
3. Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim yang sangat dingin. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.
Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: ” Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa”.
4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”
5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.
Sampai disini sahaja perkongsian kalini….
Semoga blog kalini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada pembacanya…
Perbanyakkan lah ibadah di bulan yang mulia ini demi mendapat ganjaran yang berlipat ganda dan syurga Allah…
www.hasnuri.com