Pada 31 Ogos setiap tahun rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan. Pelbagai acara dijalankan pada hari itu seperti majlis perarakan atau perbarisan,pasang bendera malaysia pada bangunan dan kenderaan.
Saban tahun juga pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah wang yang besar sebagai persiapan menyambut hari kemerdekaan. Yang menjadi persoalan di sini, perlu ke kita sebagai rakyat malaysia ni sambut hari kemerdekaan? Untuk apa?
So blog minggu ni, Min nak share kebaikan dan kepentingan menyambut hari kemerdekaan setiap tahun. Kebaikan menyambut kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri.
Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.
Seterusnya, dapat mengenang jasa tokoh yang telah banyak berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air. Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya. Mereka rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempt tumpah darah mereka dijajah oleh kuasa asing seperti British dan Jepun. Mereka juga sanggup menggadai nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan.
Selanjutnya melalui sambutan hari kemerdekaan, kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita. Ramai mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain kaum Dusun,Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti. Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi. Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara.
Jelas disini betapa pentingnya untuk kita sebagai Rakyat Malaysia perlu sambut hari kemerdekaan pada setiap tahun.. Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, kita perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan di negara. Jadikanlah perang saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini. Marilah sama-sama kita berganding bahu menyemarakkan ikatan perpaduan sesama kita. Kita merdeka daripada penjajah, kita juga hendaklah merdeka daripada perkara yang sia-sia.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Yang Ke-65 daripada Hasnuri Sdn Bhd